Monday, February 14, 2011

Niat Baik Dapat Pahala : Niat Buruk Dapat Dosa

Dari Abu Kabsyah alAnmari ra, dari Nabi saw, sabdanya: "Tiga perkara aku bersumpah menegaskan kebenarannya, iaitu: tiadalah berkurang harta seseorang dengan sebab dikeluarkan sedekahnya; dan tiadalah seseorang itu dizalimi dengan sesuatu kezaliman yang ia bersabar menanggungnya melainkan Allah menambahkan dia dengan kemuliaan; dan tiadalah seseorang memulakan sesuatu cara meminta sedekah melainkan Allah membukakan kepadanya pintu kepapaan; dan aku menerangkan kepada kamu satu hadis pengajaran maka hafazlah dia (untuk dijadikan iktibar);


... (kemudian Baginda menerangkannya) sabdanya: "Sebenarnya (habuan) dunia (mengenai ilmu agama dan harta) hanyalah terbahagi kepada empat (keadaan) manusia: pertama - orang yang telah dikurniakan Allah dengan harta dan juga dengan ilmu agama, maka ia menggunakan ilmunya dengan berlaku taat kepada Allah dan menjauhi laranganNya, dan menggunakan hartanya pada menghubungkan silaturrahim kaum kerabatnya, serta ia mengetahui hak Allah pada nikmat-nikmat yang dikurniakan itu; maka orang yang demikian bersifat dengan semulia-mulia keadaan (di sisi Allah).

... Dan kedua - orang yang telah dikurniakan Allah dengan ilmu agama sahaja dan tidak dikurniakannya dengan harta benda serta ia berkata dengan niatnya yang benar: 'Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu (yang dermawan) itu', maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan baik kedua-dua orang itu adalah sama.

... Dan ketiga - orang yang telah dikurniakan Allah harta dan tidak dikurniakannya ilmu agama, maka ia menyalahgunakan hartanya dengan tidak berdasarkan ilmu, - ia tidak memelihara dirinya dengan harta itu dari azab Tuhan, dan ia juga tidak menggunakan hartanya itu untuk silaturrahim, dan tidak pula mengetahui akan hak Allah pada hartanya itu; maka orang yang demikian bersifat dengan seburuk-buruk keadaan.

... Dan keempat - orang yang tidak dikurniakan Allah dengan harta dan tidak juga dengan ilmu agama, lalu ia berkata: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukaan oleh si anu itu', maka ia beroleh balasaan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan buruk kedua-dua orang itu adalah sama." 

(Riwayat At-Tirmizi dan lain-lainnya)


Ini adalah diambil dari Muqaddimah Mastika Hadith Rasulullah saw terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM.

No comments:

Post a Comment