Monday, February 14, 2011

Hebatnya Rasulullah SAW Dalam Solat Jemaah : Bagaimana Anda?

Kuliah Ustaz Yusbaijuri (8hb. Februari 2011)

Mukadimmah (Kuliah)

Adakah kita bersedia untuk mati? Adakah kita boleh lari dari mati?
Sabda Rasulullah SAW:
"Orang yang paling bijak di antara kamu ialah yang mengingati mati dan paling bersedia menghadapinya".

Jika benar kita sentiasa mengingati mati dan bersedia menghadapinya.. Mengapa ada diantara kita yang lupa untuk solat berjemaah. Ingatlah apabila kita dimatikan dan dihidupkan kembali diakhirat kelak kita akan dibawa menghadap Allah SWT dan dipertontonkan kembali segala yang dilakukan di muka bumi (segala perbuatan baik dan buruk). Semasa itu jawablah kalau boleh jawab..

Diceritakan Kisah Rasulullah SAW selepas sebulan Hijratulwada': 

Selepas sebulan peristiwa Hijratulwada' (Tahun Kesepuluh Hijrah) Rasulullah SAW kembali semula dari Makkah ke Madinah. Rasulullah telah jatuh sakit sehingga Baginda tidak dapat bangun (lemah tubuh badan).
Setibanya waktu solat Baginda Rasulullah SAW menguatkan diri untuk bangun dan bertanya kepada Aishah r.a. "Bagaimanakah keadaan orang-orang di Masjid?" dan dijawab oleh Aishah r.a. "Sesungguhnya mereka sedang menungguMu untuk solat". Lalu Rasulullah SAW menguatkan diri untuk bangun dan Baginda jatuh kali pertama. Lalu baginda bangun sekali lagi untuk menggagahkan diri ke masjid akan tetapi baginda jatuh kali kedua dan pengsan.

Sesedar sahaja baginda dari pengsannya. Baginda meminta Saidina Abu Bakar untuk menggantikan baginda untuk menjadi imam bagi solat jemaah. Namun Saidina Abu Bakar enggan kerana beliau merasakan dirinya tidak layak menjadi imam pada masa itu. Lalu Rasulullah SAW meminta Saidina Umar pula untuk menggantikan baginda untuk menjadi imam. Namun Saidina Umar juga enggan kerana beliau merasakan dirinya tidak layak untuk menjadi imam.

Lalu Rasulullah SAW meminta dirinya untuk dipapah ke masjid untuk mengimamkan solat jemaah tersebut.

Cubalah kita ambil iktibar daripada peristiwa tersebut di atas bagaimana Rasulullah SAW amat mementingkan solat jemaah. Dimanakah kita apabila azan dilaungkan adakah kita menjalankan tanggungjawab kita untuk melaksanakan tuntutan solat jemaah.

Pengajaran Dari Peristiwa Diatas:
1. Betapa Rasulullah SAW amat mementingkan solat jemaah sehingga banyak hadith diriwayatkan oleh ulama'  mengenai pentingnya solat jemaah antaranya ialah
-Riwayat dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat lsyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu kebaikan yang ada padanya, mereka akan menghadirinya sekalipun dengan cara merangkak.
Dan sesungguhnya aku bermaksud memerintahkan solat lalu ia pun didirikan.Kemudian aku menyuruh seseorang lalu ia solat bersama manusia. Setelah itu dia ikut denganku bersama orang-orang yang membawa kayu untuk menjumpai kaum yang tidak ikut mengerjakan solat, lalu kami bakar rumah mereka."

-Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

2. Bagaimana zuhud dan rendah diri para sahabat yang sentiasa merasakan diri mereka tidak layak walaupun menjadi Imam bagi solat jemaah. Namun kini jawatan Imam menjadi rebutan sehingga ada yang sanggup tidak bertegur sapa untuk menjadi Imam di Surau dan Masjid (mungkinkah kerana elaun Imam).

No comments:

Post a Comment