Saturday, August 14, 2010

PERISTIWA DIBULAN REJAB DAN SYAABAN

Intipati Kuliah: Ust. Hj. Azmi (27/7/2010)
Topik : Nisfu Syaaban

Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Nisfu Syaaban adalah lebih baik kita mengetahui dahulu peristiwa-peristiwa di bulan Rejab, kerana di bulan Rejab adalah bulan Allah memberikan kewajipan untuk bersolat kepada semua manusia yang bergama Islam.

Peristiwa di bulan Rejab: Isra’ Mikraj
Isra’ Mikraj ialah satu peristiwa yang Allah jadikan untuk menduga keimanan manusia kerana ia adalah satu peristiwa yang tidak dapat diterima oleh akal manusia biasa.

Isra’ Mikraj:

Isra’ : pengertian Isra’ ialah jalan diwaktu malam
Mikraj : pengertian Mikraj ialah diangkat ke langit

Isra’ Mikraj adalah peristiwa dimana Rasulillah SAW dibawa berjalan menaiki seekor binatang yang dinamakan BURAQ’ (binatang yang dicipta oleh Allah SWT) untuk membawa Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis dan ke Siddratun Muntaha.

Setibanya Nabi Muhammad SAW di Baitulmaqdis menaiki BURAQ dari Makkah. Nabi Muhammad telah melakukan solat dengan mengimamkan para nabi-nabi sebelum baginda.

Setelah itu Nabi Muhammad telah diangkat ke langit dan sebelum itu Nabi Musa sempat meminta Nabi Muhammad untuk singgah di tempatnya sebelum turun ke bumi.

Setelah Nabi Muhammad naik ke langit dan telah menerima perintah untuk melakukan solat sebanyak 50 kali sehari semalam, Nabi Muhammad telah singgah di tempat Nabi Musa dan Nabi Musa telah memohon Nabi Muhammad untuk naik semula ke langit untuk menghadap Allah untuk memohon dikurangkan jumlah solat kerana ummat Nabi Muhammad adalah ummat yang lemah dan tidak mungkin mampu melaksanakan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Nabi Muhammad telah kembali ke langit untuk menghadap Allah untuk meminta dikurangkan jumlah solat yang difardukan beberapa kali atas nasihat Nabi Musa sehinggalah jumlah solat yang difardukan hanya tinggal 5 kali sehari semalam.

Nabi Muhammad telah dinasihatkan oleh Nabi Musa untuk merayu kepada Allah untuk dikurangkan lagi namun Nabi Muhammad menyatakan baginda merasa malu kepada Allah kerana baginda telah memohon dikurangkan dari 50 sehingga ke 5 kali solat sehari semalam.

Pengajaran dari peristiwa tersebut:
1. Nabi Muhammad adalah rasul yang termulia diantara rasul-rasul Allah namun baginda masih menghormati pandangan dan nasihat rasul yang lain.
2. Bukti Nabi Muhammad amat sayang akan ummatnya sehingga sanggup berkali-kali turun dan naik untuk memohon dikurangkan jumlah solat demi kesenangan dan kemudahan ummatnya.
3. Nabi Muhammad adalah seorang yang bermaruah tinggi dan bersifat mulia, walaupun Nabi Muhammad boleh meminta dikurangkan lagi jumlah solat dari 5 kali sehari semalam, namun Nabi Muhammad enggan kerana malu kepada Allah dan dia merasakan ummatnya mampu melaksanakan 5 waktu sehari semalam.

Sekembalinya Rasulillah SAW dari Sidratun Muntaha ke Baitulmaqdis dan kembali ke Makkah menaiki BURAQ. Rasulillah SAW telah duduk termenung berdekatan Kaabah. Sedang Rasulillah SAW termenung, Baginda ditegur oleh Abu Jahal akan kenapa baginda termenung. Deceritakan oleh baginda akan keseluruhan peristiwa yang dilaluinya pada malam tersebut.

Lalu Abu Jahal dengan segera memanggil seluruh penduduk Makkah untuk mendengar peristiwa tersebut dengan niat untuk menunjukkan kepada seluruh penduduk Makkah bahawa Nabi Muhammad telah berdusta.

Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap menceritakan keseluruhan peristiwa tersebut kepada seluruh penduduk Makkah.

Terdapat beberapa penduduk Makkah yang mempertikaikan baginda, kerana masakan seorang manusia boleh berjalan dari Makkah ke Baitulmaqdis yang mana perjalanannya selama 15 hari di dalam hanya 1 malam.

Beberapa penduduk Makkah yang masa itu telah memeluk Islam juga mempertikaikan Rasulillah SAW. Rasulillah SAW telah ditanya dengan pelbagai soalan mengenai Baitulmaqdis oleh penduduk-penduduk Makkah yang pernah ke sana. Kesemua soalan dapat dijawab dengan fasih dan sempurna.

Lalu baginda telah menyatakan kepada sesiapa yang tidak percaya untuk bertanya kepada Saidina Abu Bakar..

Lalu berduyun penduduk Makkah pergi ke rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq lalu diceritakan oleh mereka akan apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW dan ditanya apakah ia benar?

Maka dijawab oleh Saidina Abu Bakar dengan “Aku mengiakan kata-kata Muhammad” lalu dikatakan lagi jika mereka tidak percaya pergilah bertanya kepada Saidina Umar Al-Khattab. Maka berduyunlah penduduk Makkah pergi ke rumah Saidina Umar Al-Khattab lalu diceritakan akan apa yang diceritakan oleh Rasulillah SAW dan ditanya apakah ia benar?

Saidina Umar Al-Khattab tidak menjawab dan lalu bangun naik ke rumahnya, lalu Saidina Umar Al- Khattab mencabutkan pedangnya dan turun memancung kepala orang yang bertanya, kerana tidak percaya kepada Rasulillah SAW, kerana tidak ada satu pun kata-kata Rasulillah SAW adalah dusta dan boleh dipertikaikan.

Peristiwa Isra’ Mikraj adalah satu peristiwa yang menduga IMAN manusia kerana ia adalah satu peristiwa yang mustahil berlaku jika hanya difikirkan dengan akal manusia. Namun adakah kita ingin manafikan bahawa Allah boleh berbuat apa sahaja yang Allah ingini... Allah Yang Maha Kuasa, Allah Yang Maha Besar, setiap sesuatu boleh berlaku dan pasti akan berlaku dengan kehendakNYA.

Peristiwa Di Bulan Syaaban:

Di dalam bulan Syaaban, satu peristiwa yang besar juga telah berlaku iaitu peristiwa yang digelar TAHWILUL KIBLAH iaitu pertukaran kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah.

Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah (setengah khilaf ulama’ mengatakan selepas 16 bulan dan ada khilaf mengatakan selepas 17 bulan). Kaum Yahudi di Madinah sering mengejek-ngejek Rasulillah SAW kerana berkiblatkan Baitulmaqdis kerana kiblat mereka juga adalah Baitulmaqdis. Kaum Yahudi juga mengejek-ngejek bahawa jika agama mereka tidak betul kenapa Nabi Muhammad SAW juga solat menghadap kiblat mereka.

Pada suatu hari Nabi Muhammad SAW telah mengadu akan hal tersebut kepada Jibril AS dan telah berdoa kepada Allah untuk mengadu kepada Allah akan hal yang sama.

Sedang Rasulillah SAW bersolat di Masjid Kiblataini (Masjid Dua Kiblat-Di Madinah) pada waktu Asar (ada khilaf ulama’ yang mengatakan pada waktu Subuh) Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW untuk menukarkan kiblat kepada Makkah.

Namun sudah sifat kaum Yahudi yang tidak akan berpuas hati kepada orang Islam selagi tidak mengikuti (cara hidup / telunjuk) mereka tetap mengejek-ejek Nabi Muhammad SAW kerana menukar kiblat.

Pengertian Bulan Syaaban: Bulan Latihan
Bulan Syaaban adalah satu bulan dimana ummat Islam diberikan pahala yang besar untuk berlatih untuk berpuasa dan meningkatkan amalan. Seperti mana seorang tentera yang perlu berlatih sebelum pergi ke medan perang. Begitulah juga dibulan Syaaban Allah menggalakkan umatnya untuk berlatih sebelum datangnya bulan Ramadhan.

Oleh itu Allah memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang berpuasa sunat, beristiqhfar, bertaubat, memperbanyakkan zikir dan doa.

Selain itu Allah sediakan satu malam yang istimewa iaitu malam Nisfu Syaaban iaitu menurut Imam Syafiee ia adalah antara 5 malam yang Allah makbulkan doa sesiapa yang berdoa kepadanya pada malam itu.

Antara 5 malam yang Allah makbulkan doa menurut Imam Syafiee:

1. Malam Jumaat
2. Malam Aidilfitri
3. Malam Aidiladha
4. Malam 1 Syaaban
5. Malam Nisfu Syaaban

dan malam yang paling agung ialah malam Lailatul Qadar dimana Allah SWT menurunkan jutaan kerahmatan kepada mereka yang berjaya mendapatkannya iaitu antara 10 malam terakhir di bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment