Sunday, August 15, 2010

LIMA GOLONGAN DI AKHIR ZAMAN

Intipati Kuliah : Ustaz Azmi (25 Mei 2010)
Kuliah Mukadimah
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Mulakan pagi kamu dengan menjadi orang Alim”

Pengertiannya Rasulullah SAW meminta setiap dari umatnya untuk memulakan kehidupan pada setiap pagi untuk menjadi orang yang Alim, iaitu orang yang berilmu khasnya ilmu agama yang merupakan sesuatu yang Fardu Ain kepada setiap manusia yang beragama Islam.

Terdapat lima golongan orang Islam diakhir zaman:

1. Golongan Pertama
Golongan yang ALIM, iaitu golongan orang yang mencintai ilmu agama. Orang yang ALIM akan menghabiskan masa dan kehidupannya mempelajari kepelbagaian ilmu agama dan mengetahui kepelbagaian hukum-hakam Islam. Mampu pula mengajar dan menjadi rujukan kepada orang yang lain.

2. Golongan Kedua
Golongan yang belajar agama, iaitu golongan orang yang telah ketinggalan, telah mensia-siakan masa muda untuk mempelajari ilmu agama namun masih mencari dan menghadirkan diri pada setiap kuliah agama. Walaupun sudah lewat umurnya orang tersebut masih belajar (menadah kitab) dan mencatat intipati kuliah agama yang dihadirinya.

3. Golongan Ketiga
Golongan pendengar, walaupun sudah tidak mampu mempelajari ilmu agama (tidak menadah kitab dan mencatat) namun masih memberikan dirinya ruang untuk mendengar ceramah, kuliah dan sebagainya demi pengetahuan agamanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Ilmu seperti binatang yang liar”

memberikan pengertian bahawa ilmu itu harus diikat dengan tulisan (dicatat) supaya ia dapat dirujuk pada-pada masa yang akan datang.

4. Golongan Keempat
Golongan yang kasih dan menyokong ilmu agama, walaupun tidak berkesempatan untuk menghadiri ceramah , kuliah dan sebagainya namun dia masih lagi menyumbang dari pelbagai bentuk untuk memastikan ilmu Allah SWT akan terus disebarkan. Golongan ini walaupun tidak berkesempatan menghadirkan diri namun masih menyokong dari segi moral.

5. Golongan Kelima
Golongan yang tidak berilmu, tidak kasih kepada ilmu, tidak menyokong dan menjauhkan diri dari ilmu Allah SWT. Golongan ini adalah golongan yang dilaknat Allah SWT. Golongan ini dijanjikan binasa dunia dan akhirat oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian janganlah kita menjadikan diri kita dari menjadi golongan yang kelima iaitu golongan yang dilaknati Allah SWT.

Marilah kita menjadikan diri kita di dalam golongan pertama, kedua, ketiga dan keempat. Dijemput semua penduduk Kinta Perdana untuk menghadiri kuliah dan majlis ilmu di surau supaya kita bersama-sama akan berdiri dipintu syurga bersama-sama..Insyaallah..

No comments:

Post a Comment