Sunday, August 15, 2010

LIMA GOLONGAN DI AKHIR ZAMAN

Intipati Kuliah : Ustaz Azmi (25 Mei 2010)
Kuliah Mukadimah
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Mulakan pagi kamu dengan menjadi orang Alim”

Pengertiannya Rasulullah SAW meminta setiap dari umatnya untuk memulakan kehidupan pada setiap pagi untuk menjadi orang yang Alim, iaitu orang yang berilmu khasnya ilmu agama yang merupakan sesuatu yang Fardu Ain kepada setiap manusia yang beragama Islam.

Terdapat lima golongan orang Islam diakhir zaman:

1. Golongan Pertama
Golongan yang ALIM, iaitu golongan orang yang mencintai ilmu agama. Orang yang ALIM akan menghabiskan masa dan kehidupannya mempelajari kepelbagaian ilmu agama dan mengetahui kepelbagaian hukum-hakam Islam. Mampu pula mengajar dan menjadi rujukan kepada orang yang lain.

2. Golongan Kedua
Golongan yang belajar agama, iaitu golongan orang yang telah ketinggalan, telah mensia-siakan masa muda untuk mempelajari ilmu agama namun masih mencari dan menghadirkan diri pada setiap kuliah agama. Walaupun sudah lewat umurnya orang tersebut masih belajar (menadah kitab) dan mencatat intipati kuliah agama yang dihadirinya.

3. Golongan Ketiga
Golongan pendengar, walaupun sudah tidak mampu mempelajari ilmu agama (tidak menadah kitab dan mencatat) namun masih memberikan dirinya ruang untuk mendengar ceramah, kuliah dan sebagainya demi pengetahuan agamanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Ilmu seperti binatang yang liar”

memberikan pengertian bahawa ilmu itu harus diikat dengan tulisan (dicatat) supaya ia dapat dirujuk pada-pada masa yang akan datang.

4. Golongan Keempat
Golongan yang kasih dan menyokong ilmu agama, walaupun tidak berkesempatan untuk menghadiri ceramah , kuliah dan sebagainya namun dia masih lagi menyumbang dari pelbagai bentuk untuk memastikan ilmu Allah SWT akan terus disebarkan. Golongan ini walaupun tidak berkesempatan menghadirkan diri namun masih menyokong dari segi moral.

5. Golongan Kelima
Golongan yang tidak berilmu, tidak kasih kepada ilmu, tidak menyokong dan menjauhkan diri dari ilmu Allah SWT. Golongan ini adalah golongan yang dilaknat Allah SWT. Golongan ini dijanjikan binasa dunia dan akhirat oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian janganlah kita menjadikan diri kita dari menjadi golongan yang kelima iaitu golongan yang dilaknati Allah SWT.

Marilah kita menjadikan diri kita di dalam golongan pertama, kedua, ketiga dan keempat. Dijemput semua penduduk Kinta Perdana untuk menghadiri kuliah dan majlis ilmu di surau supaya kita bersama-sama akan berdiri dipintu syurga bersama-sama..Insyaallah..

Saturday, August 14, 2010

PERISTIWA DIBULAN REJAB DAN SYAABAN

Intipati Kuliah: Ust. Hj. Azmi (27/7/2010)
Topik : Nisfu Syaaban

Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Nisfu Syaaban adalah lebih baik kita mengetahui dahulu peristiwa-peristiwa di bulan Rejab, kerana di bulan Rejab adalah bulan Allah memberikan kewajipan untuk bersolat kepada semua manusia yang bergama Islam.

Peristiwa di bulan Rejab: Isra’ Mikraj
Isra’ Mikraj ialah satu peristiwa yang Allah jadikan untuk menduga keimanan manusia kerana ia adalah satu peristiwa yang tidak dapat diterima oleh akal manusia biasa.

Isra’ Mikraj:

Isra’ : pengertian Isra’ ialah jalan diwaktu malam
Mikraj : pengertian Mikraj ialah diangkat ke langit

Isra’ Mikraj adalah peristiwa dimana Rasulillah SAW dibawa berjalan menaiki seekor binatang yang dinamakan BURAQ’ (binatang yang dicipta oleh Allah SWT) untuk membawa Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis dan ke Siddratun Muntaha.

Setibanya Nabi Muhammad SAW di Baitulmaqdis menaiki BURAQ dari Makkah. Nabi Muhammad telah melakukan solat dengan mengimamkan para nabi-nabi sebelum baginda.

Setelah itu Nabi Muhammad telah diangkat ke langit dan sebelum itu Nabi Musa sempat meminta Nabi Muhammad untuk singgah di tempatnya sebelum turun ke bumi.

Setelah Nabi Muhammad naik ke langit dan telah menerima perintah untuk melakukan solat sebanyak 50 kali sehari semalam, Nabi Muhammad telah singgah di tempat Nabi Musa dan Nabi Musa telah memohon Nabi Muhammad untuk naik semula ke langit untuk menghadap Allah untuk memohon dikurangkan jumlah solat kerana ummat Nabi Muhammad adalah ummat yang lemah dan tidak mungkin mampu melaksanakan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Nabi Muhammad telah kembali ke langit untuk menghadap Allah untuk meminta dikurangkan jumlah solat yang difardukan beberapa kali atas nasihat Nabi Musa sehinggalah jumlah solat yang difardukan hanya tinggal 5 kali sehari semalam.

Nabi Muhammad telah dinasihatkan oleh Nabi Musa untuk merayu kepada Allah untuk dikurangkan lagi namun Nabi Muhammad menyatakan baginda merasa malu kepada Allah kerana baginda telah memohon dikurangkan dari 50 sehingga ke 5 kali solat sehari semalam.

Pengajaran dari peristiwa tersebut:
1. Nabi Muhammad adalah rasul yang termulia diantara rasul-rasul Allah namun baginda masih menghormati pandangan dan nasihat rasul yang lain.
2. Bukti Nabi Muhammad amat sayang akan ummatnya sehingga sanggup berkali-kali turun dan naik untuk memohon dikurangkan jumlah solat demi kesenangan dan kemudahan ummatnya.
3. Nabi Muhammad adalah seorang yang bermaruah tinggi dan bersifat mulia, walaupun Nabi Muhammad boleh meminta dikurangkan lagi jumlah solat dari 5 kali sehari semalam, namun Nabi Muhammad enggan kerana malu kepada Allah dan dia merasakan ummatnya mampu melaksanakan 5 waktu sehari semalam.

Sekembalinya Rasulillah SAW dari Sidratun Muntaha ke Baitulmaqdis dan kembali ke Makkah menaiki BURAQ. Rasulillah SAW telah duduk termenung berdekatan Kaabah. Sedang Rasulillah SAW termenung, Baginda ditegur oleh Abu Jahal akan kenapa baginda termenung. Deceritakan oleh baginda akan keseluruhan peristiwa yang dilaluinya pada malam tersebut.

Lalu Abu Jahal dengan segera memanggil seluruh penduduk Makkah untuk mendengar peristiwa tersebut dengan niat untuk menunjukkan kepada seluruh penduduk Makkah bahawa Nabi Muhammad telah berdusta.

Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap menceritakan keseluruhan peristiwa tersebut kepada seluruh penduduk Makkah.

Terdapat beberapa penduduk Makkah yang mempertikaikan baginda, kerana masakan seorang manusia boleh berjalan dari Makkah ke Baitulmaqdis yang mana perjalanannya selama 15 hari di dalam hanya 1 malam.

Beberapa penduduk Makkah yang masa itu telah memeluk Islam juga mempertikaikan Rasulillah SAW. Rasulillah SAW telah ditanya dengan pelbagai soalan mengenai Baitulmaqdis oleh penduduk-penduduk Makkah yang pernah ke sana. Kesemua soalan dapat dijawab dengan fasih dan sempurna.

Lalu baginda telah menyatakan kepada sesiapa yang tidak percaya untuk bertanya kepada Saidina Abu Bakar..

Lalu berduyun penduduk Makkah pergi ke rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq lalu diceritakan oleh mereka akan apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW dan ditanya apakah ia benar?

Maka dijawab oleh Saidina Abu Bakar dengan “Aku mengiakan kata-kata Muhammad” lalu dikatakan lagi jika mereka tidak percaya pergilah bertanya kepada Saidina Umar Al-Khattab. Maka berduyunlah penduduk Makkah pergi ke rumah Saidina Umar Al-Khattab lalu diceritakan akan apa yang diceritakan oleh Rasulillah SAW dan ditanya apakah ia benar?

Saidina Umar Al-Khattab tidak menjawab dan lalu bangun naik ke rumahnya, lalu Saidina Umar Al- Khattab mencabutkan pedangnya dan turun memancung kepala orang yang bertanya, kerana tidak percaya kepada Rasulillah SAW, kerana tidak ada satu pun kata-kata Rasulillah SAW adalah dusta dan boleh dipertikaikan.

Peristiwa Isra’ Mikraj adalah satu peristiwa yang menduga IMAN manusia kerana ia adalah satu peristiwa yang mustahil berlaku jika hanya difikirkan dengan akal manusia. Namun adakah kita ingin manafikan bahawa Allah boleh berbuat apa sahaja yang Allah ingini... Allah Yang Maha Kuasa, Allah Yang Maha Besar, setiap sesuatu boleh berlaku dan pasti akan berlaku dengan kehendakNYA.

Peristiwa Di Bulan Syaaban:

Di dalam bulan Syaaban, satu peristiwa yang besar juga telah berlaku iaitu peristiwa yang digelar TAHWILUL KIBLAH iaitu pertukaran kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah.

Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah (setengah khilaf ulama’ mengatakan selepas 16 bulan dan ada khilaf mengatakan selepas 17 bulan). Kaum Yahudi di Madinah sering mengejek-ngejek Rasulillah SAW kerana berkiblatkan Baitulmaqdis kerana kiblat mereka juga adalah Baitulmaqdis. Kaum Yahudi juga mengejek-ngejek bahawa jika agama mereka tidak betul kenapa Nabi Muhammad SAW juga solat menghadap kiblat mereka.

Pada suatu hari Nabi Muhammad SAW telah mengadu akan hal tersebut kepada Jibril AS dan telah berdoa kepada Allah untuk mengadu kepada Allah akan hal yang sama.

Sedang Rasulillah SAW bersolat di Masjid Kiblataini (Masjid Dua Kiblat-Di Madinah) pada waktu Asar (ada khilaf ulama’ yang mengatakan pada waktu Subuh) Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW untuk menukarkan kiblat kepada Makkah.

Namun sudah sifat kaum Yahudi yang tidak akan berpuas hati kepada orang Islam selagi tidak mengikuti (cara hidup / telunjuk) mereka tetap mengejek-ejek Nabi Muhammad SAW kerana menukar kiblat.

Pengertian Bulan Syaaban: Bulan Latihan
Bulan Syaaban adalah satu bulan dimana ummat Islam diberikan pahala yang besar untuk berlatih untuk berpuasa dan meningkatkan amalan. Seperti mana seorang tentera yang perlu berlatih sebelum pergi ke medan perang. Begitulah juga dibulan Syaaban Allah menggalakkan umatnya untuk berlatih sebelum datangnya bulan Ramadhan.

Oleh itu Allah memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang berpuasa sunat, beristiqhfar, bertaubat, memperbanyakkan zikir dan doa.

Selain itu Allah sediakan satu malam yang istimewa iaitu malam Nisfu Syaaban iaitu menurut Imam Syafiee ia adalah antara 5 malam yang Allah makbulkan doa sesiapa yang berdoa kepadanya pada malam itu.

Antara 5 malam yang Allah makbulkan doa menurut Imam Syafiee:

1. Malam Jumaat
2. Malam Aidilfitri
3. Malam Aidiladha
4. Malam 1 Syaaban
5. Malam Nisfu Syaaban

dan malam yang paling agung ialah malam Lailatul Qadar dimana Allah SWT menurunkan jutaan kerahmatan kepada mereka yang berjaya mendapatkannya iaitu antara 10 malam terakhir di bulan Ramadhan.

ENAM SOALAN SEBELUM ORANG ISLAM DIMASUKKAN KE NERAKA



Intipati Kuliah: Ust. Yusbaijuri (13/7/2010)
Topik : Feqah: Fadhilat Ilmu dan Ulama’

Sabda Rasullilah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang memuliakan orang berilmu sesungguhnya dia memuliakan akan Aku, Barang siapa yang memuliakan akan Aku sesungguhnya dia memuliakan akan Allah”

Begitulah betapa besarnya fadhilat bagi mereka-mereka yang menyayangi orang yang berilmu agama (Alim). Islam amat mementingkan ummatnya untuk menuntut ilmu. Namun masih ada lagi manusia yang mengakui beragama Islam mengabaikan tuntutan Islam untuk mencari dan mempelajari ilmu agama dengan pelbagai alasan.

Allah SWT amat kasih kepada umat Nabi Muhammad SAW yang menuntut ilmu agama sehinggakan darjat orang yang mencari ilmu agama itu diangkat tinggi. Begitu juga darjat seseorang yang Alim (Ulama’) sehinggakan pelbagai hadith dari Rasullillah SAW menceritakan fadhilat-fadhilat bagi orang Alim.

Antara Sabda Rasullilah SAW yang bermaksud:

“Apabila berkhabar dalam majlis ilmu setiap kalimah guru mengajar, Allah akan menyuruh satu malaikat untuk meminta ampun baginya”  

“Barangsiapa yang menilik (melihat dengan tekun) akan muka Ulama’ dan suka akan ia apa yang dia tilik (seronok) akan malaikat minta ampun dosanya sehingga hari kiamat”

“Tidurnya orang Alim (Ulama’) lebih baik dari ibadat orang jahil”

Barangsiapa menziarahi orang Alim maka seolah dia menziarahi akan aku”

Barangsiapa menjabat tangan orang Alim, seolah dia menjabat tangan Aku”

Begitu besarnya Allah mengangkat darjat manusia yang berilmu sehinggakan Rasulillah SAW menceritakan pelbagai fadhilat-fadhilat bagi mereka- mereka yang Alim dan Ulama’.

Namun begitu orang Alim (Ulama’) memikul tanggungjawab yang amat besar kerana Rasulillah SAW memperingati pula
Sabda Rasulillah SAW yang bermaksud:
“Orang yang berilmu tetapi tidak beramal maka dia adalah GILA”

“Bahawasanya orang Alim tetapi tidak beramal maka ilmu akan melaknat tiap-tiap sesuatu yang dilakukannya dari naik matahari sehingga turunnya matahari, malaikat akan mencatat dia sebagai orang yang putus asa dengan rahmat Allah”

“Barangsiapa belajar satu bab daripada ilmu Allah dan beramal akan dia , terlebih afdal dari solat sunat 1000 rakaat”

“Apabila mati orang Alim yang tidak beramal, akan Allah tarik  rohnya (nyawa) tanpa syahadah (tidak mengucap syahadah) dan diharamkannya mati dalam keadaan beriman”

“Yang terlebih sangat diseksa di hari kiamat adalah orang Alim yang tidak beri manfaaat akan ilmunya”

Pengertian orang Alim (Ulama’) yang tidak beramal:
1.    Orang Alim yang takut hilang kuasa (jawatan dan kedudukan dunia) dari membuat teguran kepada sesuatu yang salah dan mungkar.
2.    Orang Alim yang sayang pada dunia lebih dari akhirat (sibuk dengan mengumpul harta dunia dari benar-benar memperjuangkan hukum-hukum Allah).   
3.    Orang Alim yang membuat pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan hukum-hukum Allah.

Sabda Rasulillah SAW yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya akan perbuatan yang diperintah oleh kamu”
Yang bermaksud setiap orang adalah pemimpin dan akan disoal setiap perbuatan (dosa/pahala) bagi orang yang kita pimpin itu.

-Seorang suami adalah pemimpin kepada isteri
-Bapa adalah pemimpin kepada anak-anaknya
-Datuk adalah pemimpin kepada anak cucunya
-Imam adalah pemimpin kepada semua anak khariahnya
-Ketua kampung pemimpin kepada semua anak kampungnya  
-Majikan adalah pemimpin kepada pekerjanya
Dan pelbagai lagi..

Setiap kita akan disoal akan semua perbuatan (dosa/pahala) bagi semua orang yang dipimpin oleh kita, jika orang yang dibawah pimpinan kita itu tidak solat, membuat kemungkaran dan sebagainya, maka kita juga akan disoal akan semua tindakan kita, adakah ada kita berusaha mentarbiyah, mencegah dan bertindak kepada setiap sesuatu yang salah/mungkar  yang dilakukan oleh mereka.. 

Kita difardhukan (wajib) untuk mentarbiyah setiap yang dipimpin oleh kita. Jika kita tidak mampu untuk mentarbiyah mereka. Maka bawalah mereka ke majlis ilmu dan sebagainya.

Sabda Rasulillah SAW yang bermaksud:
“Ilmu akan pupus apabila Allah mencabut nyawa Ulama’ yang tidak diberi bercakap”

Pengertiannya:
Allah akan mencabut nyawa para Ulama’ yang tidak diberikan peluang dan ruang untuk bercakap, menegur dan membetulkan setiap kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat jelata bagi sesuatu kaum. Ulama’ akan dikekang dengan pelbagai kekangan sehingga mereka tidak diberikan langsung peluang dan ruang untuk menyatakan kebenaran maka masa itu Allah akan mencabutkan nyawa para Ulama’ tersebut dan hiduplah manusia dengan kejahilan dan dilaknat oleh Allah.. Maka akan turunlah segala bala dan malapetaka kepada kaum tersebut..

Kisah-kisah yang sepatutnya dijadikan pengajaran:
1.    Kisah-kisah Nabi Musa dan Firaun
2.    Kisah-kisah Kaum Ad’
3.    Kisah-kisah Kaum Saba’
4.    Kisah-kisah Kaum Yahudi

Menurut Imam Al-Ghazali:
“Ilmu tidak ada amal itu GILA, Amal tidak ada ilmu itu tidak sah”
Menurut Imam Al-Ghazali setiap sesuatu amalan yang dilakukan dengan tiada ilmu (sekadar ikutan semata-mata) adalah TIDAK SAH.

Contohnya:
-Solat dengan bacaan FATIHAH yang tidak betul/salah (tanpa ilmu) maka solat tersebut TIDAK SAH.
-Membaca Al-Quran dengan tidak betul (tanpa ilmu) maka akan dilaknat oleh Al-Quran. Atas kerana sebab itu konsep mempelajari Al- Quran yang  baik adalah secara TALAKHI iaitu seorang belajar/baca mesti ada seorang yang mengajar/mendengar dan membetulkan.

Tingkat Amalan Manusia Berdasarkan Ilmu:
AWAM                                    : Ibadah Kosong
KHAWAR                              : Ibadah dengan Ilmu
KHUWASUR KHAWAR        : Ibadah Orang Alim

Sabda Rasulillah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang suka duduk di dalam majlis ilmu seolah dia duduk dengan daku di dunia”

“Belajar olehmu akan Ilmu , bahawasanya belajar akan ilmu (ilmu agama) adalah kebajikan, menuntut akan ia adalah ibadah dan muzakharah akan ia adalah tasbih, dan bahas akan ia adalah jihad (seperti perang) dan sampaikan akan ia adalah satu sedekah”

Wasiat Terakhir Dari Rasulillah SAW yang bermaksud:
“Aku tinggalkan kamu 2 benda jika kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat sampai bila-bila (sampai kiamat), yang pertama Kitab Allah (Al-Quran) dan hadith rasulillah (Sunnah)”

Betapa Allah SWT merahmati orang-orang yang menuntut ilmu dan orang yang Alim.

Sebagai tanda Allah merahmati orang yang Alim (berilmu agama) diceritakan di dalam Al-Quran akan enam soalan yang akan ditanya oleh Jibril AS dengan perintah Allah SWT kepada manusia sebelum manusia itu dicampakkan ke dalam neraka walaupun setelah ditimbang amalannya:

Allah perintah Jibril AS menanyakan :
1.    Pernahkah kamu duduk di dalam majlis ilmu?
Manusia itu menjawab tidak, maka Allah perintah Jibril AS untuk menanyakan :
2.    Adakah kamu kasih pada orang Alim (Ulama’)?
Manusia itu menjawab tidak, maka Allah perintah Jibril AS untuk menanyakan :
3.    Adakah kamu pernah duduk di dalam hidangan orang Alim (Ulama’)?
Manusia itu menjawab tidak, maka Allah perintah Jibril AS untuk menanyakan :
4.    Adakah kamu pernah duduk  di dalam kawasan orang Alim (Ulama’)?
Manusia itu menjawab tidak, maka Allah perintah Jibril AS untuk menanyakan :
5.    Adakah nama kamu sama dengan orang Alim atau nasab (keturunan) kamu orang Alim?
Manusia itu menjawab tidak, maka Allah perintah Jibril AS untuk menanyakan :
6.    Adakah kamu kasih kepada orang yang kasih kepada orang Alim (Ulama’)?
diceritakan di dalam Al-Quran bahawa manusia itu menjawab YA (pada soalan terakhir) dan menyatakan dia pernah kasih kepada seseorang yang kasih kepada seorang Alim Ulama’ maka ALLAH SWT telah memerintahkan Jibril AS untuk membawa manusia itu ke syurga..

Lihatlah betapa Allah merahmati orang Alim dan betapa Allah merahmati orang yang kasih akan ilmu Allah.. Sehinggakan walaupun seseorang itu telah ditimbang amalannya dan dia sepatutnya dicampak ke dalam NERAKA namun Allah masih lagi bertanyakan ENAM soalan dan jika jawapan satu daripada ENAM soalan tersebut memenuhi kehendak ALLAH SWT maka manusia itu akan di masukkan ke dalam syurga