Tuesday, January 18, 2011

KAJIAN MASJID PUTRA : MASJID DALAM PERADABAN ISLAM

1.0 PENGENALAN
1.1 Selain dari Al-Qur`an dan Hadith, sumber kedua tentang masjid boleh didapati dari sejarah amalan dan pelaksanaannya sebagaimana yang terdapat di alam sejarah Rasulullah SAW, para Khulafa-ur-Rashidin dan umat-umat Islam selepas mereka.

1.2 Bab ini akan menumpukan kepada sumber ini. Pertamanya, ia meneliti kepentingan masjid dalam perjalanan sirah Rasulullah SAW. Kemudian keduanya ia meneliti lokasi masjid; ketiga, fungsi masjid sebagai tempat ibadat; keempat, fungsi masjid sebagai pusat pengajaran ilmu pengetahuan dan kebudayaan; kelima, perpustakaan masjid; dan akhir sekali keenam, fungsi-fungsi masjid yang lain.
 
2.0 KEPENTINGAN MASJID DALAM PERJALANAN SIRAH RASULULLAH 
2.1 Islam diutus, dibawa, disampaikan, diajar, dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. serta para tabi’in telah menjadikan masjid sebagai ‘pusat’ pembangunan, pembinaan keperibadian dan peradaban Islam secara menyeluruh. Sejarah telah membuktikan masjid telah dijadikan sebagai sebuah institusi yang amat penting dalam perkembangan Islam.

2.2 Allah telah mentakdirkan Rasulullah SAW dilahirkan di Mekah sekitar Kaabah, iaitu masjid pertama dalam peradaban Islam dan umat manusia di dunia. Sebagaimana dirakamkan dalam surah al-Fil dalam al-Qur’an, demi kemuliaan Islam, Kaabah telah dilindungi oleh Allah SWT semasa tentera Abrahah cuba memusnahkannya. Peristiwa Israk dan Mikraj pula, yang berlaku sebagai mukjizat dan bukti kerasulan Muhammad SAW, bermula dari Masjid Al-Haram Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Bait Al-Muqaddasah.

2.3 Hijrah, yang merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, juga ada kena mengena dengan masjid. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa Hijrah ialah membina Masjid Quba’ dan kemudiannya membina Masjid Nabawi.

2.4 Pada saat-saat akhir hayat Rasulullah SAW pula, iaitu ketika Baginda sakit, Baginda telah memilih untuk tinggal di rumah isterinya Saiditina ‘Aisyah r.h.a. kerana rumah tersebut menjadi sebahagian dari Masjid al-Nabawi di Madinah. Baginda wafat ketika berada dalam Masjid al-Nabawi. Jasad Baginda kemudiannya telah disempurnakan dan disemadikan di dalam Masjid al-Nabawi ini. Susunan kronologi sirah kehidupan Rasulullah SAW ini jelas membuktikan dan menyedarkan kita bahawa masjid itu adalah ‘jantung’ Islam dan ‘jiwa’ Rasulullah SAW.
 
3.0 LOKASI MASJID
3.1 Menurut sejarah, perkara utama yang dilakukan oleh orang-orang Islam apabila membuka bandar-bandar baru Islam ialah membina masjid. Selepas itu barulah dirancang pembinaan bangunan-bangunan lain di sekelilingnya.  Oleh itu, menurut konsep perbandaran Islam ini, tempat atau bangunan yang paling penting ialah masjid kerana ia adalah suatu tempat untuk mengadakan segala aktiviti masyarakat, selain dari menjadi tempat ibadat.

3.2 Sebagaimana telah disebutkan, apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang Baginda lakukan ialah membina sebuah masjid (Masjid Quba’). Masjid ini dibina untuk dijadikan tempat sembahyang, tempat berkumpul bersama para sahabat dan tempat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Kemudian Baginda membina pula Masjid al-Nabawi di Madinah. Rasulullah SAW sangat mengambil berat tentang pembinaan masjid ini. Baginda membina masjid di mana sahaja Baginda singgah.

3.3 Perbuatan Rasulullah SAW ini dicontohi oleh orang-orang Islam lain. Misalnya, apabila pahlawan-pahlawan Islam membuka kawasan-kawasan baru atau membangunkan bandar-bandar baru, mereka yang telah dididik Rasulullah SAW dengan kesedaran terhadap nilai dan kelebihan masjid ini membina masjid di tengah-tengah bandar dan membina jalan-jalan menuju ke arahnya. Oleh itu, dibandar-bandar Islam, masjid biasanya menjadi focal point atau pusat segala aktiviti kehidupan penduduk setempat dengan lokasinya yang strategik. 

3.4 Terdapat banyak contoh semasa zaman Islam dahulu yang memberi gambaran tentang perancangan teliti lokasi pembinaan masjid yang telah dilakukan oleh pemimpin Islam. Antaranya ialah pembukaan bandar Basrah pada tahun 16H. Apabila Utbah bin Ghazwan membuka bandar ini, semasa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., perkara pertama yang beliau lakukan ialah mendirikan sebuah masjid di tempat tersebut. Kemudian beliau membina bangunan pentadbiran bersebelahan masjid dan kawasan perumahan disekelilingnya. Pada tahun 17H pula, Saad bin Abi Waqas telah membina Masjid Jami’ ditengah-tengah bandar Kufah yang baru dibuka. Masjid ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan bangunan-bangunan pentadbiran. Jalan-jalan dan lorong-lorong banyak dibina untuk menghubungkan masjid dengan bangunan pentadbiran dan kawasan-kawasan perumahan ini. Dikatakan jarak antara bangunan-bangunan ini dengan masjid ialah 200 depa. Perkara yang sama juga telah dilakukan oleh Amru bi Al-As di Fustat, Uqbah bin Nafi di Qairawan dan Abu Ubaidah Al-Jarrah di Damsyik (Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 1997, 31). Contoh-contoh yang disebutkan di sini menggambarkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan untuk mendirikan masjid, bangunan-bangunan pentadbiran dan kawasan-kawasan perumahan berhampiran antara satu dengan lain supaya masjid menjadi focal point atau arah tuju yang penting, merupakan satu konsep yang telah diikuti oleh orang-orang Islam sejak bertahun-tahun lamanya dalam sejarah Islam.

3.5 Di dalam masjid, pemimpin-pemimpin mengetuai pengikut-pengikutnya beribadah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW telah mengimamkan orang-orang Islam dalam sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat di Masjid Nabawi. Semasa Rasulullah SAW sakit, Abu Bakar As-Siddiq telah diminta supaya menggantikan Baginda mengimamkan sembahyang Jumaat. Jejak langkah Rasulullah SAW mengimamkan orang-orang Islam dalam sembahyang biasa dan sembahyang Jumaat ini telah diikuti oleh para Khulafa’ al-Rasyidin dan pemerintah-pemerintah Islam selepas itu.

4.0 MASJID SEBAGAI TEMPAT IBADAT
4.1 Fungsi utama masjid adalah sebagai tempat beribadat. Masjid dibina untuk membolehkan sembahyang lima kali sehari semalam ditunaikan secara berjamaah. Di samping itu ia digunakan untuk muslimin berkumpul setiap minggu bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Sembahyang di masjid adalah lebih baik daripada sembahyang di rumah atau kedai sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sembahyang berjemaah, ganjarannya melebihi daripada sembahyang di rumah atau di kedai sebanyak 27 kelebihan. Sesungguhannya sesiapa daripada kamu apabila mengambil wuduk dengan sempurna dan mendatangi masjid kerana hendak mengerjakan sembahyang, maka setiap langkah yang dilangkahinya akan mendapat satu ganjaran daripada Allah s.w.t. dan menghapuskan daripadanya satu dosa sehinggalah dia memasuki masjid” (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah).

4.2 Kepentingan menunaikan sembahyang di masjid amat ditekan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Penerangan dan peringatan tentang hal ini telah disebutkan dengan terperinci di dalam Bab 2. Antara yang penting ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Menyempurnakan wuduk, mengajak orang ramai ke masjid, menunggu sembahyang selepas sembahyang…. ini dapat membersihkan dosa-dosa. Sesiapa yang sentiasa berulang-alik ke masjid, sesungguhnya Allah menyediakan untuk mereka suatu tempat di syurga setiap kali mereka pergi dan balik”.

4.3 Semasa zaman Rasulullah SAW, ada seorang lelaki bernama Ibnu Ummu Maktum yang buta dan selalu khuatir tentang keselamatan dirinya apabila keluar rumah kerana di Madinah ketika itu terdapat banyak serangga merbahaya dan perigi buta. Beliau pergi berjumpa Rasulullah SAW menceritakan keadaan ini dan berkata kepada Rasulullah SAW: “Tidak adakah bagiku kelonggaran supaya aku boleh sembahyang di rumah?” Tanya Rasulullah SAW pula kepada lelaki ini: “Adakah kamu mendengar azan?” Jawabnya: “Ya!” Oleh itu Rasulullah SAW pun bersabda: “Aku tidak mendapati sebarang kelonggaran untukmu.” (Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 1997, 53).
 
5.0 MASJID SEBAGAI PUSAT PENYIARAN
ILMU PENGETAHUAN DAN KEBUDAYAAN
5.1 Fungsi masjid menurut fahaman Muslimin pada zaman permulaan Islam adalah luas. Selain dijadikan tempat beribadat, masjid menjadi pusat bagi penyebaran ilmu pengetahuan dan kebudayaan. Masjid sebenarnya mempunyai pertalian yang rapat dengan sejarah pendidikan Islam. Pada peringkat permulaan, iaitu pada tahun-tahun awal kelahiran agama Islam, pelajaran yang biasa diajar di masjid adalah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan Islam seperti pengenalan kepada hukum-hakam Islam, dasar-dasar agama serta tujuan-tujuan dan hikmah-hikmahnya. Seterusnya, setelah Islam berkembang, masjid telah menjadi tempat untuk pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja ilmu-ilmu agama tetapi ilmu-ilmu duniawi yang lain. Rasulullah SAW sendiri pun menggunakan masjid beliau di Madinah sebagai tempat mengajar sahabat-sahabat beliau tentang urusan-urusan agama dan dunia (Ahmad Shalaby 1976, 74).

5.2 Terdapat banyak contoh masjid dalam sejarah ketamadunan Islam yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu. Salah sebuah masjid yang menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran ilmu ketika itu ialah Masjid Jamia’ Damsyik. Masjid ini dibina oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik semasa zaman Umaiyah. Ia menjadi pusat pendidikan rohani, perkembangan ilmu al-Qur’an dan perundangan Islam yang dijalankan oleh ulamak mazhab Maliki dan mazhab Syafie. Ibnu Jubair memberi gambaran tentang keadaan majlis keilmuan yang diadakan di masjid ini ketika itu dengan berkata:
“Di dalamnya ada lingkaran-lingkaran pelajaran bagi murid-murid. Guru yang mengajar pada lingkaran-lingkaran pelajaran mendapat gaji yang lumayan. Ada sebuah pojok … tempat belajar bagi penganut-penganut mazhab Maliki….terdapat sebuah (lagi) sekolah bagi penganut-penganut mazhab Syafi’”(sebagaimana di tulis oleh Ahmad Shalaby 1976,77-8). 

5.3 Penyampaian ilmu di masjid kebiasaannya dijalankan secara halaqah, iaitu lengkongan pelajar-pelajar dalam kumpulan di sekeliling guru atau mursyid. Dalam sesebuah masjid, mungkin terdapat lebih dari satu lengkongan keilmuan atau ‘lingkaran pelajaran’ yang berjalan serentak.

5.4 Masjid Aqabah bin Nafi’ di Qairawan mengendalikan kuliah-kuliah tentang kejuruteraan, astronomi, ilmu-ilmu tumbuhan dan muzik melalui yayasan kebudayaan yang dikenali sebagai ‘Baitul Hikmah.’ Yayasan ini diiktiraf setaraf dengan universiti ketika itu.  Kegemilangan Masjid Zaitun di Tunisia pula berlaku dalam abad ketiga. Masjid ini mempunyai pejabat dan perpustakaan serta cawangan-cawangan diseluruh negeri (Abdullah Al-Amin Al-Nai’miy 1994, 188). Masjid al-Mansur di Baghdad pula dibina oleh Khalifah al-Mansur sebagai mercu tanda pembinaan Bandar Baghdad. Pembinaannya dilakukan pada tahun 145H dan kemudiannya diperluas dan diperbaiki semasa pemerintahan Harun ar-Rasyid. Masjid ini telah menjadi pusat perkembangan ilmu bahasa dan kesusasteraan Islam (Ahmad Shalaby 1976, 77).

5.5 Di Andalusia, Khalifah Abdul Rahman al-Nasir telah mendirikan sebuah universiti yang besar, dikatakan yang pertama di dunia, di Masjid Besar Cordova. Pengajian di situ diberikan percuma dan universiti ini telah berjaya menarik minat orang-orang Islam dan bukan Islam, yang datang bukan sahaja dari Sepanyol tetapi juga dari  Eropah, Asia dan Afrika (Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 1997, 68). Masjid Al-Azhar pula dibina di Mesir oleh Jauhar as-Siqilli pada tahun 360H. Kemudian pada tahun 378H, beliau menentukan supaya masjid ini dikhususkan sebagai tempat pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan ilmiah (Ahmad Shalaby 1976, 75). Sejak itu sehingga sekarang, Masjid Al-Azhar telah menjadi lambang keagungan ilmu Islam dan merupakan salah sebuah universiti yang penting dan terkemuka. Begitulah juga cemerlangnya masjid-masjid lain yang ternama seperti Masjid Jami’ Amru Al As, Masjid Al Askar, dan Masjid Ahmad Ibnu Tulun.

6.0 PERPUSTAKAAN MASJID
6.1 Terdapat banyak contoh pembinaan perpustakaan di masjid-masjid semasa zaman Islam. Pembinaan perpustakaan bercambah dengan banyaknya di masjid-masjid di Baghdad, Andalusia dan Mesir. Antaranya ialah perpustakaan yang dinamakan Bait al-Hikmah di Baghdad yang telah diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rasyid dan diperkembangkan oleh Khalifah al-Ma’mun. Semasa zaman Khalifah Islam, perpustakaan ini menyimpan buku-buku tentang ilmu Mantiq dan ilmu Wahyu dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Yunani, Parsi, Seryani dan bahasa-bahasa benua India. Jejak langkah pemerintahan Baghdad dalam peningkatan ilmu ini telah diikuti oleh kerajaan Andalusia yang diperintah oleh Khalifah Abdul Rahman al-Nasir dan kemudian anaknya al-Muntasir. Perkembangan ilmu pengetahuan di Andalusia ketika itu telah mencapai tahap yang amat tinggi sehingga ramai penulis mengatakan bahawa hampir setiap orang di Andalusia tahu membaca dan menulis. Keadaan ini berlaku ketika Eropah masih dalam zaman kegelapan dan penganut Kristian masih buta huruf dan tidak berpengetahuan (Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 1997, 65-6).

6.2 Manakala di Mesir pula, terdapat Perpustakaan Masjid al-Azhar dan Khazanah al-Khutub yang telah dibina oleh kerajaan Fatimi. Perbelanjaan yang besar telah digunakan untuk melengkapi buku-buku di perpustakaan ini yang merangkumi bidang Sejarah, Satera, Fikah, Kimia, Falsafah, Matematik, Geografi dan lain-lain. Setiap buku di perpustakaan ini dikatakan mempunyai berpuluh-puluh salinan dan setengah-setengahnya sampai beribu-ribu salinan (ibid, 66-7).
 
7.0 FUNGSI-FUNGSI LAIN MASJID 
7.1 Masjid merupakan tempat terpenting dalam usaha Rasulullah SAW menyampaikan ajaran Islam dan mentablighkan Islam dengan cara yang baik kepada manusia semasa di Madinah dan di Mekah. Masjidil Haram telah menjadi pusat penyebaran Islam pada setiap masa terutamanya pada musim haji. Rasulullah SAW menerima utusan dari kabilah-kabilah Arab dan bukan Arab di masjid. Baginda juga mengadakan rundingan, menyampaikan amanat, nasihat dan sebagainya kepada utusan-utusan ini. Sekiranya utusan-utusan ini memutuskan untuk menerima Islam, Rasulullah SAW akan mengIslamkan mereka di masjid. Di samping itu, Baginda juga menghantar guru-guru untuk mengajar dan menyampaikan Islam kepada suku kaum yang telah menerima ajaran Islam dari masjid (Lokman Ab. Rahman dan Musa Ahmad 1996, 9).

7.2 Masjid di Madinah pada zaman Rasulullah SAW telah menjadi pusat kegiatan masyarakat dan pentadbiran kewangan negara. Di masjid ditempatkan Baitulmal iaitu sumber kewangan untuk membiayai kebajikan masyarakat. Urusan pengutipan dan pembahagian zakat dijalankan di masjid. Begitu juga dengan pembahagian sedekah dan bantuan kewangan kepada fakir miskin serta pembahagian harta rampasan perang (ibid, 10).

7.3 Masjid juga telah menjadi tempat perlindungan bagi musafir dan orang-orang yang tidak berupaya. Ia juga pernah menjadi tempat tinggal para sahabat yang dikenali sebagai ahli Saffah. Mereka tinggal di satu ruang yang dinamakan “Saffah” yang dibina di sebelah utara masjid. Mereka ini biasanya belajar ilmu-ilmu Islam, al-Qur’an dan Hadith semasa penginapan mereka di masjid (ibid, 10).

7.4 Semasa zaman Rasulullah SAW, pengumuman perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara dan masyarakat telah dilakukan di masjid. Di samping itu masjid juga menjadi tempat bermesyuarat dan berunding, terutama dalam hal-hal berkaitan dengan ketenteraan dan politik, strategi dakwah serta penyebaran Islam. Contohnya, dalam peristiwa peperangan Uhud, Rasulullah SAW bermesyuarat dan bertukar-tukar fikiran dengan sahabat di masjid selepas menunaikan sembahyang Jumaat. Ketika itu mereka berunding tentang strategi serangan yang akan dilakukan terhadap pihak kaum Quraisy. Semasa berlakunya peperangan, perajurit yang cedera di khemahkan di perkarangan masjid. Masjid telah dijadikan markas pemulihan dan rawatan para sahabat dan perajurit yang cedera (ibid, 10).

7.5 Rasulullah SAW juga telah menjadikan masjid tempat untuk menyelesaikan persengketaan, memutuskan tuntutan, mengadakan perbicaraan, menentukan hak dan memberikannya kepada yang berhak. Ini menunjukkan masjid telah dijadikan sebagai mahkamah Islam untuk menyelesaikan kes-kes di hadapan Rasulullah SAW (ibid, 10).

7.6 Sebagai pusat peradaban Islam, masjid telah menjadi tempat penerimaan jawatan khalifah semasa zaman pemerintahan Islam. Masjid al-Nabawi telah menjadi tempat penerimaan baiah jawatan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan baiah kesetiaan orang-orang Islam Madinah terhadap Khalifah Abu Bakar. Kemudian masjid ini terus menjadi pusat rasmi perlantikan dan baiah empat Khalifah Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW (Muhammad Uthman Al-Muhammady 1987, 173-9).

7.7 Perkara pertama yang biasa dilakukan oleh seorang pemerintah Islam yang baru dilantik ialah membentangkan khutbahnya kepada orang-orang Islam di mimbar. Para pemerintah juga mengadakan mesyuarat dengan orang-orang Islam di masjid. Pemerintah meminta nasihat dari rakyat jelata tentang perkara-perkara yang timbul. Setelah semua pandangan diambilkira dan kata sepakat dicapai, pemerintah akan mengumumkan perkara tersebut dan mereka mentaati ketetapan tersebut (Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 1997, 32).

7.8 Dalam era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a., beliau telah mengarahkan Gabenor Abu Musa al-Asa’ari dan Sa’ad bin Abi Waqas, Gabenor Kufah dan Gabenor Mesir ketika itu, supaya menjalankan kepimpinan mereka dengan berpusat di masjid.
 
8.0 PENUTUP
8.1 Hal-hal yang disebutkan di atas jelas menggambarkan bagaimana pentingnya institusi masjid di dalam Islam. Cara-cara yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan pemerintah Islam menggambarkan fungsi masjid yang pelbagai, dari tempat beribadah hinggalah kepada tempat menguruskan hal-ehwal kemasyarakatan dan negara.

8.2 Dengan kepelbagaian fungsi itu, sejarah telah membuktikan bagaimana masjid telah berjaya menjadi nadi kehidupan masyarakat Islam sehingga mereka merasakan amat memerlukannya dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanakah pula masjid masakini? Bab 4 akan meninjau persoalan ini.

No comments:

Post a Comment